“Guru membina sahsiah dan membentuk nilai manusia melalui penjanaan modal insan. Oleh itu, kita sendiri tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru kita. Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus.
Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dulu dia adalah guru kita, mungkin sekarang dia adalah guru kepada keturunan kita. Tidak ada satu anugerah walau sebesar manapun dapat membalas jasa guru, hatta dibayar dengan segunung harta mahupun sejumlah wang ringgit membalas setiap ilmu yang diterima”
Besarnya ikhlas kepada orang yang beriman
Adakah tugas guru itu kita jalankan secara ikhlas atau sekadar memenuhi tuntutan untuk mendapatkan gaji?
Adakah tugas guru itu kita jalankan secara ikhlas atau sekadar memenuhi tuntutan untuk mendapatkan gaji?
Ada orang berkata: “Alah, buat apa susah-susah fikir fasal ikhlas ke tak ikhlas? Tak fikir langsung kan bagus? Buat pening sahaja. Asal kerja jalan sudah.”
Ya. Mungkin kita nampak, ‘benda-benda tidak nampak’ ini melecehkan.
Tetapi ikhlas hakikatnya adalah syarat utama mencapai ISO yang Allah tetapkan. Ikhlas menjamin kelangsungan kerja yang berpanjangan, kekuatan diri dalam melaksanakan amalan dan mempertahankan diri dari keputus asaan dan kekecewaan.
Ikhlas ini besar kerana silap di dalam ikhlas, akan membawa kita ke pengakhiran yang berlainan. Ini terbukti apabila ‘niat’ dianggap sangat-sangat besar dan penting di dalam Islam. Lihatlah dalam apa kitab hadith sekalipun. Biasanya yang dimulakan adalah hadith berkenaan niat.
“Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berniat berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka dia akan berhijrah kepada Allah dan rasulNya. Tetapi sekiranya dia berniat berhijrah kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hendak hijrah kepadanya.”
Keikhlasan adalah penting. Besar kepada orang yang beriman yang berhajatkan redha Allah SWT. Yalah, sekiranya niatnya salah, maka redha Allah bukan berada dalam genggamannya. Sekiranya niatnya salah, maka segala amal adalah sia-sia dan tidak dikira.
Maka mengapa perkara ini tidak diperhatikan?
Perhatikan Diri Kita
Maka kita perhatikan diri kita. Pada saat-saat pergeseran antara keinginan untuk ikhlas, dan keperluan yang mendesak datang. Maka di situlah kita ukur kualiti diri kita yang sebenar. Di situlah titik ujian dan muhasabah.
Apakah kita mampu untuk ikhlas?
Apabila kita faham makna ikhlas, dan keperluannya dalam kehidupan kita sebagai hamba, maka kita akan berusaha menjaganya sebaik mungkin, dan berusaha mewujudkannya dengan kesungguhan yang tidak terkira.
No comments:
Post a Comment