SK PASIR PUTEH, PASIR GUDANG

SK PASIR PUTEH, PASIR GUDANG

Sejarah Sekolah

Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh mula ditubuhkan pada tahun 1940 oleh penduduk kampung yang inginkan pendidikan untuk anak-anak mereka.  Encik Mustafa Bin Omar telah dilantik sebagai Guru Besar yang pertama. Sekolah ditutup pada bulan Disember 1940 kerana Perang Dunia Kedua.

Sekolah dibina semula pada 17 Januari 1954. Sekolah didirikan oleh orang kampung dengan bantuan penjajah Inggeris.  Di antara pengasas bangunan sekolah ini ialah Encik Awang Bin Ghazali, Encik Abdul Hamid Bin Awang, Encik Abdul Bin Omar dan Encik Kahar Bin Wijoyo Suraviyo.

Bangunan sekolah adalah bangunan kayu, berdinding papan dan beratap zink.  Pada tahun 1955, seorang guru telah dilantik untuk mengajar di sekolah ini dan dua orang guru ditambah pada tahun berikutnya.  Kemudian jumlah guru bertambah menjadi empat orang. Encik Abdul Rahman Bin Kumat telah dilantik sebagai Guru Besar pada tahun 1967.

Pada tahun 1970, bangunan baru telah didirikan.  Kemudian pada 1 Mac 1972, bangunan ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Allahyarham Tun Hussein Onn, selaku Timbalan Perdana Menteri.  Bangunan ini terdiri daripada empat buah bilik darjah, sebuah bilik rehat guru, sebuah bilik Guru Besar, sebuah stor dan dua buah tandas.  Kemudian sebuah bangunan enam bilik darjah pula didirikan.

Pada tahun 1989 - 1990, sebuah bangunan tiga tingkat telah didirikan. Bangunan ini mengandungi pejabat, bilik Guru Besar dan Guru Penolong Kanan, sebuah bilik guru, sebuah Pusat Sumber, 5 bilik darjah, 3 buah tandas dan 7 buah stor.  Pada tahun 1990, bangunan ini telah digunakan sepenuhnya.

Sebuah makmal komputer dua tingkat telah didirikan pada tahun 2002 bagi membantu murid-murid mendapat pendedahan pembelajaran dan pengetahuan teknologi maklumat yang penting untuk masa depan. Selain itu, pembinaan makmal ini dapat membantu guru mengajar dengan lebih interaktif. Makmal ini dapat digunakan sepenuhnya pada tahun 2003.

Pada tahun 2009, sebuah bangunan empat tingkat dibina bagi menggantikan bangunan kayu yang lama. Ini bagi menampung keperluan murid dan suasana belajar yang lebih baik. Bangunan ini telah dapat digunakan pada Oktober 2011.

Sehingga sekarang, seramai 55 orang guru mengajar di sekolah ini dan jumlah muridnya pula ialah 770 orang.