SK PASIR PUTEH, PASIR GUDANG

SK PASIR PUTEH, PASIR GUDANG

18 June 2011

Hari Terbuka 2011

Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibu bapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus murid berada landasan yang betul. Oleh yang demikian, Hari Terbuka yang diadakan pada setiap tahun merupakan satu peluang untuk merapatkan hubungan antara para guru dan ibu bapa. Pada hari Sabtu, 18 Julai 2011, SKPP telah mengadakan Hari Terbuka bagi memenuhi matlamat tersebut.


Seawal jam 6.30 pagi, guru-guru telah membuat persiapan terakhir bagi memastikan ibu bapa dan penjaga mendapat perkhidmatan yang terbaik sepanjang Hari Terbuka ini. Kenderaan ibu bapa  mula membanjiri perkarangan luar sekolah seawal jam 7.30 pagi. Ibu bapa dan penjaga dengan diringi murid-murid menuju ke kelas-kelas di mana sesi pertemuan dan perbincangan berlangsung. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para murid yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi murid yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan setengah tahun 2011 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.

Para guru menjalankan tanggungjawab dengan baik dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para murid bagi menaikkan motivasi mereka terutamanya murid-murid yang bakal menduduki UPSR. Ibu bapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.
Walaupun Sekolah Agama Kampung Pasir Putih mengadakan program, peratusan ibubapa yang hadir tetap meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SKPP. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah yang bijak dengan memberi peringatan serta memaklumkan program ini melalui PIBG. Pada jam 12 tengah hari, ‘kaunter’ kelas ditutup dan guru mengambil peluang untuk mengemas barang-barang sebelum pulang ke rumah.

Pihak KEBIRU juga tidak melepaskan peluang dengan membuka gerai menjual makanan dan minuman kepada para guru, ibu bapa dan murid yang hadir. Gerai jualan ini dikelolai oleh Cikgu Ira dan dibantu oleh Ustazah Hazura, Cikgu Suhana, Cikgu Sa'diah dan beberapa orang guru yang lain. Rata-rata pembeli berpuas hati dengan masakan yang begitu sedap.
Selain itu, program ini merupakan perkhidmatan terakhir En. Aszlizam di SKPP. Beliau kelihatan sibuk untuk menyerahkan tugas dan menyampai amanat terakhir kepada rakan-rakan guru. Mulai 20 Jun 2011, beliau akan berkhidmat di PPD Pasir Gudang. Warga SKPP pasti merindui Cikgu Aszlizam.

No comments:

Post a Comment